Gaza, Aku Adalah Sebahagian Kamu

Dalam pada umat Islam seluruh dunia menyambut dan mengimarahkan Ramadhan, nun di sebelah sana, Gaza namanya, Palestin negaranya, tak setenang di tempat lain.

Pada ketika penduduk Gaza turut sama seperti kita berpuasa, mereka ada ujian lain yang menimpa. Dizalimi zionis durjana. Dibunuh dimana-mana. Ditindas bila-bila masa. Itu Gaza. Di Palestin.

Sampai saat aku menulis ini pun mereka masih diserang. Syawal ini, umat Islam meraikan kemenangan setelah sebulan berpuasa tapi Gaza masih terus berjuang mempertahankan bumi Palestin. Perjuangan yang dibayar dengan nyawa dan darah. Dengan kehancuran tubuh badan. Dengan kecacatan anggota. Mati syahid. Sungguh mahal perjuangan mereka. Selayaknya syurga Allah buat mereka.

Israel laknatullah. Post ini sudah tentu tak kau baca. Sudah tentu tak berimplikasi apa-apa. Tapi aku ada doa buat kalian. Semoga jahanam dibalas Tuhan. Semoga hancur ditempur pejuang-pejuang Allah disana. Doa ini bukan dari bibir aku saja. Tapi dari insan sekeliling dunia. Percayalah. Doa ini tak pernah putus dan pastinya Allah Maha Mendengar. Zionis kau tunggu saja saat kehancuran kau yang kami doakan.

Bukan di Gaza semata-mata. Dimana-mana umat Islam dizalimi dan ditindas pun aku kirimkan doa yang sama. Syria. Myanmar. Mesir. Mana-manapun. Doaku semoga saudara-saudaraku dilindungi Allah.

Beza bagai langit dengan bumi keamanan kita kecap dengan kekacauan di negara mereka. Masih lagi aku mengeluh. Merungut. Kurang bersyukur. Astaghfirullah.

Mari bertekad. Untuk gunakan apa saja kelebihan kita ada untuk bantu mereka yang memerlukan. Bila tangan menadah, doakan mereka. Bila tabung dibuka, dermakan buat mereka. Sehabis baik, itulah yang paling kita mampu buat secara istiqamah, insyaAllah.

Ramadhan 2014 Di Mataku

Terlalu banyak peristiwa terjadi masa Ramadhan tahun ni. Banyak dan mungkin ada yang aku ingat-ingat lupa.

Tapi mudah untuk aku simpulkan yang hati keras aku ni begitu tertaut pada bulan mulia ni bagi edisi kali ini. Sungguh. Sejak aku mula kenal Ramadhan. Aku tahu Ramadhan itu bulan Allah. Aku tau Ramadhan itu bulan mulia. Aku tau Ramadhan itu bulan pesta ibadah. Aku tau Ramadhan itu bulan pahala dilipatgandakan. Subhanallah.

Tapi selama ni semua itu cuma dalam pengetahuan. Secara zahir, aku hanya menahan lapar dahaga dari Subuh sampai Maghrib. Baca al-Quran sikit. Itu je kot.

Masuk asrama, baru belajar berterawih. Aktiviti tadarus diperbaiki dan dimantapkan.

Keluar asrama, aku kembali meliang liuk macam lalang. Ya tidak ya tidak ikut dan je.

Sehinggalah tiba Ramadhan tahun ni. Allah Maha Besar. Hati ini rapuh sekali. Bergetar sekali. Terlalu teruja menyambut Ramadhan walaupun asalnya tak terlalu ternanti-nanti. Entah dari mana (pastinya dari keizinan Allah), tidak aku berkira-kira kudrat untuk beramal. Kepala selalu terngiang - "pahala amalan 70 sampai 700 kali ganda woi. Hanya sebulan ni woi."

Allah temukan kita dengan setiap insan lain pasti ada tujuan dan sebabnya. Maka aku dipertemukan dengan rakan-rakan yang besar cintanya pada Ramadhan. Kawan-kawan inilah yang menguatkan lagi iltizam aku untuk meraikan Ramadhan sepenuh jiwa. Allahu. Terima kasih ya Rabb.

Dan yang terpaling tidak aku duga. Perasaan terpaling berharga. Keresahan aku untuk berpisah dengan Ramadhan. Penat memasak sehari sebelum raya bukan masalah bagi aku. Sikitpun tak terkesan. Bukan punca hati aku tak mampu bertenang. Bila solat Maghrib, air mata bercucuran tak henti. Saat itu aku sedar, ketenangan dan keterujaan menyambut Syawal aku tertunda dek kerana berlalunya Ramadhan. Perasaan itu MasyaAllah. Subhanallah.

Maka aku berdoa, semoga dipertemukan lagi dengan Ramadhan seterusnya, dengan semangat sehebat ini, malah lebih hebat lagi. Mengharapkan istiqamah seumpama ini tidak hilang pada tempoh setahun lagi. Semoga Allah mengizinkan.